Isnin, 2 November 2009

Kelantan Bagai Dibuai Kisah Dongeng

Dilanda pelbagai masalah kini igauan 39 tahun hampir terlerai

APA jua kesudahan buat Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini, ia tetap menjurus ke arah satu rumusan – pemergian Peter Butler yang memimpin pasukan itu pada saat saingan Piala Malaysia bermula, langsung tidak ditangisi.

Ketika Selangor bermegah dengan tiga kejuaraan dalam semusim, tidak keterlaluan boleh disimpulkan betapa Kelantan adalah pasukan paling mencuri tumpuan yang mewarnai kemeriahan kancah Liga Malaysia 2009, baik dari sudut negatif mahupun positif.
Bermula dengan langkah Polis yang 'menarik diri' yang membolehkan Kelantan diberi ihsan beraksi dalam Liga Super, diikuti kehilangan tiga mata kepada KL Plus ekoran penangguhan aksi pembukaan akibat padang becak sebelum perlawanan ulangan diadakan semula, hingga ke insiden keganasan penonton di luar Stadium Sultan Muhammed IV pada April lalu, segala rencah itu menjadikan pasukan Kelantan sering menjadi bualan.

Diperkuatkan empat 'pemain import' tempatan – Indra Putra Mahayuddin, Khalid Jamlus, Nor Farhan Mohamad dan Azlan Zainal – Kelantan memulakan musim Liga Super dengan garang, apabila secara bergilir mendahului liga bersama Selangor sebelum kedua-dua pasukan bertemu pada final Piala FA yang juga aksi final pertama skuad Pantai Timur itu sejak 1970.

Kekalahan kepada skuad Merah Kuning itu kemudian menjadi titik tolak kemerosotan Kelantan, apa lagi diarah menggunakan Stadium Nasional sebagai gelanggang sendiri hingga akhirnya pasukan diberi jolokan The Red Warriors, menamatkan saingan Liga Super di tangga keenam walaupun larangan itu ditarik balik selepas dua bulan.
Musim yang menjanjikan sinar buat bola sepak Kelantan sejak sekian lama dilihat semakin malap apabila Butler, pengendali dari England itu secara mengejut meninggalkan pasukan hanya tidak sampai seminggu sebelum sepak mula Piala Malaysia.

Namun, seperti pemergian Butler, pelantikan secara mengejut bekas jurulatih kebangsaan, B Sathianathan, rupa-rupanya menyalakan semula impian menggunung penyokong fanatik Kelantan untuk sekali lagi berarak ke Bukit Jalil.

Daripada sebuah pasukan yang sering dikaitkan dengan masalah kewangan dan dianggap lawan kerdil kerana pernah terjerumus ke kancah paling bawah saingan liga domestik iaitu Piala FAM pada 2005, sesuatu boleh dipelajari daripada kejayaan Kelantan musim ini.

Ia membuktikan falsafah kejayaan buat pasukan liga tempatan cukup mudah – mempunyai pengurusan cekap serta tidak berdepan kemelut gaji tertunggak, selain memiliki set pemain berbakat, jurulatih berkaliber dan penyokong setia di belakang pasukan.

Tiada ulasan: